Wednesday, 13 November 2013

Mingguan Wanita 1564
 
Diana & Habib Mahu Majlis Yang Ringkas 
 
Oleh:Nadia Mingguan Wanita
Diana Amir bersama Mohd Habib Bullah A.Rahman
Setahun mengikat tali pertunangan, tanggal 25 Oktober 2013, Nor Diana binti Amir Hasyim sah bergelar isteri kepada Mohd Habib Bullah A.Rahman. Majlis pernikahan yang diadakan di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, Precint 3, Putrajaya, berlangsung dalam suasana cukup sederhana tetapi tetap meriah dengan kehadiran sanak saudara kedua-dua belah pihak dan juga rakan-rakan rapay pasangan pengantin pada malam itu.
 
Majlis akad nikah yang dilangsungkan selepas solat isyak dan tepat jam 9.30 malam hanya dengan sekali lafaz, Diana menjadi yang halal buat Habib selama-lamanya. Pasangan ini diijabkabulkan oleh jurunikah, Haji Hazaruddin bin Haji Baharuddin dan berwalikan bapa Diana sendiri, Prof. Ir. Amir Hashim bin Mohd Kassim. 
 
Diana yang anggun mengenakan persalinan daripada rekaan Ezuwan Ismail dan begitu juga Habib segak mengenakan baju melayu juga daripada Ezuwan Ismail masuk ke ruang akad nikah pada jam 9 malam. Rombongan Habib membawa 3 dulang iaitu sebentuk cincin perkahwinan senaskah al-Quran dan mas kahwin sebagai hantarannya. Uniknya, pasangan ini tidak berbalas dulang hantaran dan ini bertepatan dengan kata-kata Diana Amir sendiri yang hanya mahukan sebuah majlis pernikahan yang sederhana dan mengikut syariat Islam.
 
Pasangan ini yang mula berkenalan setahun yang lalu melalui rakan yang mempertemukan mereka ternyata tidak menyangka itulah jodoh yang dihadiahkan oleh Allah SWT. Pada sidang media yang berlangsung sebaik selesai majlis akad nikah, baik Habib dan juga Diana, masing-masing teruja dengan majlis yang mereka adakan pada hari yang penuh barakah itu.
 
Bertanya kepada Habib apa yang menyebabkan dia benar-benar yakin untuk menamatkan zaman bujangnya bersama Diana Amir, dengan senyuman penuh ikhlas, dia memberitahu  Diana menepati ciri-ciri wanita idamannya.
 
“Perkenalan kami yang pada mulanya hanya melalui telefon memandangkan saya ketika itu sedang bertugas sebagai pensyarah sains politik di Univesiti Teknologi Mara, Merbok. Walaupun begitu, selepas berjumpa dan berkenalan dengan lebih rapat, saya tidak mahu terusan kami tanpa apa-apa ikatan yang akan membawa kepada fasa yang serius dalam perhubungan. Tahun lalu saya menghantar rombongan meminang dan seterusnya hari ini Diana sah menjadi isteri saya.” Ujar Habib sambil diperhatikan oleh Diana Amir.
 
Ditanya mengenai majlis yang serba ringkas, Diana punya alasan tersendiri  mengapa dia mengadakan majlis yang serba ringkas dan apa yang lebih penting semua yang hadir mendoakan ksejahteraan mereka berdua.
 
“Ini memang majlis yang kami rancang dari awal. Saya terhutang budi dengan pihak MIG Production yang bertungkus lumus menjadikan majlis ini sebagai satu kenyataan. Daripada urusan meminta kebenaran masjid dan sebagainya semuanya diuruskan oleh pihak MIG. Saya berterima kasih kepada pihak pengurusan saya terutamanya David Teoh dan isteri yang banyak membantu selama ini. Dan majlis hari ini, inilah yang saya inginkan.
 
Tidak mahu keterlaluan dan saya suka untuk melakukan perkara yang wajib sahaja. Untuk majlis ini saya berterima kasih kepada semua yang sudi menaja pernikahan saya ini dan sebenarnya mereka ini banyak membantu melancarkan majlis pernikahan saya dan Habib pada malam ini.” ujar Diana yang pernah membintangi filem Petala Cinta bersama MIG Production dan banyak lagi filem di bawah MIG yang menaikkan nama Diana Amir.
 
Antara pihak penaja yang turut menaja pernikahan Diana Amir dan Habib ialah, Ezuwan Ismail yang menaja baju pengantin lelaki dan juga perempuan, Saiful Sin untuk dekorasi dewan, Cake Bros untuk cenderahati, Yakult (M) Sdn Bhd, Shutterplace video perkahwinan, ST Photography jurugambar rasmi, Lea Henna untuk inari dan Fatimah Shaari Creation untuk dekorasi.   
 
“Saya  suka dengan majlis dan perjalanan serta konsepnya menepati citarasa saya dan Habib. Kami mengimpikan majlis berkonsepkan Taman Kristal dan semuanya diadakan secara sederhana mengikut garis panduan Islam. Sehinggakan dalam upacara berinai pun, saya hanya menggunakan imej yang berkonsepkan bunga-bungaan dan tidak kelihatan seperti tatu,” Ujar Diana yang mengikat tali pertunangan bersama Habib pada 23 Ogos 2012.
 
Demikian sedikit perkongsian kebahagiaan daripada Diana Amir dan pasangannya. Ikuti cerita penuh dan lebih menarik mengenai perancangan anak dan tempat berbulan madu mereka menerusi majalah Mingguan Wanita keluaran 1564.

Apa itu Majalah ??


Majalah merupakan penerbitan berkala, sama ada dwi-migguan, bulanan, dwi-bulanan, dwi-tahunan dan sebagainya, yang berisi bermacam-macam rencana dengan subjek yang pelbagai.
Majalah biasanya memiliki artikel mengenai topik popular yang ditujukan kepada masyarakat umum dan ditulis dengan bahasa yang mudah difahami oleh pembaca. Penerbitan akademik yang ditulis dalam bentuk artikel yang padat dengan ilmu dikenali sebagai penerbitan ilmiah atau jurnal.
Pada kebiasaannya, majalah dicetak berwarna dan menggunakan kertas yang lebih bermutu. Majalah secara umumnya boleh didapati di toko-toko buku, gerai majalah, pusat beli-belah, pasar raya, pasar mini, kedai runcit dan sebagainya.
Majalah juga diterbitkan secara dalam talian di internet. Bahkan sesetengah majalah mempunyai kedua-dua versi cetak dan internet sekaligus. Terdapat juga majalah yang hanya mempunyai sama ada dalam versi cetak sahaja ataupun versi internet sahaja.

Kategori Majalah 
  • majalah pengguna.
  • majalah perniagaan.